Thursday, 14 July 2011

Apa itu PROGRAM PEMUTIHAN?

Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah dan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program (6P).

1. Kerajaan telah memutuskan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program (6P) yang dilaksanakan pada 11 Julai 2011 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sehubungan itu, perbincangan lanjut telah diadakan dan Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Program (6P) pada tarikh baru iaitu 1 Ogos 2011. Perubahan tarikh ini dilakukan bagi memberikan laluan untuk melaksanakan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang sah bermula esok, 13 Julai 2011 dan berlangsung selama dua (2) minggu sehingga 31 Julai 2011.

2. Selain untuk melengkapkan persiapan bagi Program 6P, rasional bagi melaksanakan Program ini adalah untuk menangani isu berhubung tindakan pekerja asing yang sah yang telah dan merancang untuk melarikan diri daripada majikan asal dengan niat untuk menyertai Program 6P. Pendaftaran Pekerja Asing yang sah melibatkan pengambilan data biometrik dan melengkapkan maklumat yang disimpan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

3. Dengan mempunyai data biometrik, JIM akan berupaya mengenal pasti dengan tepat pekerja asing yang sah yang telah lari daripada majikan termasuk mereka yang telah membuang dokumen pengenalan diri sedia ada dan menukar dengan dokumen baru dengan identiti yang berbeza. Dalam kes sebegini, mereka yang dikenal pasti tidak akan dibenarkan untuk menyertai program pemutihan dan dinasihati kembali kepada majikan asal atau akan dihantar balik melalui program pengusiran.

4. Dianggarkan sejumlah 1.8 juta pekerja asing yang sah bekerja dengan majikan di Malaysia. Dari jumlah tersebut, sebanyak 321 majikan di seluruh Malaysia yang mempunyai pekerja asing yang sah melebihi 500 orang. Oleh yang demikian, satu taklimat untuk 228 syarikat yang merupakan majikan di Semenanjung Malaysia dalam kategori yang disebutkan tadi diadakan pada malam ini bagi memaklumkan inisiatif Kerajaan ini.
5. Program Pendaftaran Pekerja Asing yang sah ini akan dilaksanakan sepenuhnya oleh JIM. Kaunter-kaunter pendaftaran di pejabat-pejabat Jabatan Imigresen Malaysia setiap negeri di Semenanjung Malaysia akan memulakan operasinya esok. Semua majikan yang mempunyai pekerja asing adalah dikehendaki untuk memastikan setiap pekerja asing mereka membuat pendaftaran biometrik. Tidak ada sebarang bayaran dikenakan dalam proses ini.

Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing Dan Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P)

  1. Mesyuarat Khas JKKPA-PATI yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Hj Mohd Yassin yang diadakan semalam telah memutuskan bahawa sebuah pakej program yang menggabungkan beberapa syor yang dikemukakan oleh MPWA iaitu Program Penyelesaian Menyeluruh Terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau singkatannya Program 6P akan mula dilaksanakan berkuatkuasa 11 Julai 2011 sebagai pendekatan terkini oleh Kerajaan untuk memantapkan pengurusan warga asing di Malaysia.
  2. Menerusi program ini, PATI akan digesa untuk tampil membuat pendaftaran di mana-mana lokasi pendaftaran yang telah ditetapkan Kerajaan, dan seterusnya menyerahkan data maklumat peribadi mereka bagi dipertimbangkan untuk proses pemutihan (ditukar status menjadi pekerja sah). Bagaimanapun, tawaran untuk tampil bagi proses pendaftaran ini hanya akan dilaksanakan dalam tempoh terhad selama dua minggu, sebelum setiap maklumat diproses serta dipertimbangkan untuk tujuan kelulusan pemutihan. Selain itu, Program 6P ini juga pada masa sama menjadi platform terakhir bagi setiap majikan di Negara ini untuk mendaftarkan pekerja asing tanpa izin mereka secara sah – sebelum program penguatkuasaan secara bersepadu dilaksanakan Kerajaan secara besar-besaran.
  3. Antara rasional Program 6P ini dilaksanakan adalah untuk tujuan mendapatkan anggaran statistik jumlah PATI yang berada di Malaysia, selain mengumpul maklumat peribadi mereka termasuklah data biometrik (cap 10 jari tangan kanan dan kiri). Menerusi program 6P ini, Kerajaan akan mengenalpasti keperluan jumlah pekerja yang diperlukan setiap sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing di Negara ini. Dengan berdasarkan data yang ada, jumlah kekosongan itu akan diisi oleh PATI yang berdaftar menerusi Program 6P ini, sekali gus membekukan pengambilan terus sumber baru pekerja asing dari luar negara bagi tempoh tersebut. Justeru, Program 6P ini secara rasionalnya bertujuan memantapkan pengurusan warga asing di negara ini, membantu mengawal kemasukan baru pekerja asing ke negara ini, membantu pengurusan aktiviti ekonomi Negara ini dan membantu mengawal perkembangan jenayah di Negara ini.
  4. Program 6P ini melibatkan enam peringkat iaitu PENDAFTARAN, PEMUTIHAN, PENGAMPUNAN, PEMANTAUAN, PENGUATKUASAAN dan PENGUSIRAN.
  5. Peringkat pertama iaitu PENDAFTARAN dilaksanakan untuk tujuan mendaftarkan PATI di Malaysia, dan menerusi kaedah ini, Kerajaan berpeluang mendapatkan maklumat majikan PATI, selain rekod peribadi serta data biometrik PATI yang merupakan elemen teras bagi rasional pelaksanaan program ini. Tindakan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk mewujudkan pangkalan data komprehensif bagi setiap warga asing di Malaysia, sekali gus membolehkan proses pemantauan dilaksanakan secara lebih berkesan, termasuklah usaha membabitkan penyelesaian dalam menangani isu pemalsuan identiti serta dokumen yang selama ini mudah dipalsukan akibat tiada rekod biometrik.
  6. Peringkat kedua adalah PEMUTIHAN iaitu proses yang berfungsi untuk menyaring setiap PATI yang berdaftar menerusi program ini dan seterusnya mengenal pasti jika wujud keperluan untuk mengekalkan mereka dalam sektor tertentu yang mempunyai penawaran kekosongan kerja membabitkan pekerja asing. Jika hasil pertimbangan mendapati PATI yang terbabit sesuai untuk mengisi kekosongan tersebut, maka mereka akan diputihkan dan seterusnya dijadikan pekerja asing yang sah dengan senarai majikan yang berdaftar. Bagaimanapun, proses pemutihan ini hanya akan dipertimbangkan untuk sektor serta negara sumber yang tersenarai dalam dasar penggajian pekerja asing dan yang pernah diberikan kebenaran khas kerajaan termasuk sub-sektor yang sedang dibekukan. Pada masa yang sama, proses pemutihan ini juga akan mengambil kira kelayakan majikan berdasarkan keperluan semasa mengikut sektor dan sub-sektor yang akan ditentukan oleh kementerian/agensi kawal selia.
  7. Seterusnya ialah peringkat ketiga iaitu PENGAMPUNAN di mana PATI yang tidak tersenarai untuk diputihkan, atau PATI yang secara sukarela memilih untuk pulang ke negara asal mereka masing-masing akan diampun dan dibenarkan pulang atas kos sendiri tanpa dikenakan sebarang bentuk tindakan. Bagaimanapun, pengampunan ini hanya terhad kepada PATI yang melakukan kesalahan imigresen sahaja.
  8. Peringkat keempat ialah PEMANTAUAN yang akan dilaksanakan sebelum operasi penguatkuasaan bersepadu terhadap PATI dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh Negara. Inisiatif ini akan digerakkan menerusi naziran ke premis-premis majikan untuk memberi nasihat selain pada masa sama menerangkan implikasi tindakan undang-undang sekiranya didapati melindungi pekerja berstatus PATI yang tidak berdaftar dengan Program 6P. Antara lain, majikan serta PATI yang berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1 juta.
  9. Peringkat kelima iaitu PENGUATKUASAAN adalah peringkat di mana satu operasi penguatkuasaan bersepadu akan dilaksanakan secara besar-besaran dan digerakkan dengan tujuan untuk mengesan serta menangkap PATI serta majikan yang dikenal pasti masih melakukan kesalahan imigresen.
  10. Peringkat keenam dan terakhir adalah PENGUSIRAN PATI yang telah ditangkap melalui operasi penguatkuasaan bersepadu bagi dikenakan tindakan undang-undang sebelum diusir keluar dari Negara ini. Oleh kerana kos bagi proses pengusiran ini ditanggung menggunakan peruntukan Kerajaan, maka setiap PATI yang diusir akan turut sama disenaraihitamkan daripada kebenaran untuk masuk semula ke negara ini.
  11. Peringkat pertama Program 6P iaitu Pendaftaran akan mula dilaksanakan berkuatkuasa pada 11 Julai 2011. Susulan daripada itu, Kerajaan akan melantik sejumlah syarikat dan persatuan pengurus sebagai ejen pelaksana. Pelantikan akan dibuat melalui penilaian terhadap syarikat-syarikat yang telah memohon secara rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagaimana iklan tawaran yang dipaparkan di laman sesawang KDN pada 7 hingga 10 Jun 2011. Pemilihan syarikat dan persatuan yang akan bertindak sebagai ‘Syarikat Pengurus’ ini diputuskan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai 17 wakil daripada pelbagai bahagian di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pemilihan dibuat berdasarkan syarat serta kriteria yang telah ditetapkan. Sehingga tarikh akhir iklannya dibuka kepada umum, sejumlah 1,390 permohonan diterima. Syarikat serta persatuan yang berjaya akan dimaklumkan dalam masa terdekat dan akan diberikan sijil pelantikan khas yang dilengkapi beberapa ciri keselamatan khusus untuk berfungsi sebagai bukti syarikat tersebut dilantik Kerajaan sebagai ejen sah bagi pelaksanaan 6P.
 sumber: http://portal.ikdn.gov.my/2011/06/program-penyelesaian-menyeluruh-pekerja-asing-dan-pendatang-asing-tanpa-izin-program-6p/